Malaysia, Timor Leste setuju pengecualian visa


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Malaysia dan Timor-Leste bersetuju untuk memberikan pengecualian visa kepada rakyat kedua-dua negara tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi memenuhi keperluan di bawah Pelan Hala Tuju Keahlian Penuh Timor-Leste di ASEAN.

“Pengecualian visa ini dikenakan kepada pemegang pasport diplomatik, rasmi atau perkhidmatan dan pasport biasa dari kedua-dua negara.

“… menggalakkan lagi sektor pelancongan dan meningkatkan pertukaran rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara,” kongsinya di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan pertukaran Nota bagi Pengaturan Pengecualian Visa.

Turut hadir menyaksikan, Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao yang kini dalam lawatan kerja rasmi ke Malaysia.

Sebelum ini dalam sidang media bersama, Anwar menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Timor-Leste dalam pelbagai bidang.

“Kami mahu menyaksikan Timor-Leste berjaya dalam politik, ekonomi dan hubungan antara rakyat,” ujarnya.

Di samping itu, satu lagi pencapaian besar diumumkan apabila Batik Air akan memulakan penerbangan langsung Kuala Lumpur-Dili pada awal tahun depan, diikuti oleh AirAsia.

“Ini akan meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara dan membuka peluang perdagangan serta pelaburan yang lebih besar,” ujarnya.

Pertemuan itu diakhiri dengan sesi makan tengah hari bersama delegasi di Seri Perdana dengan persembahan kebudayaan yang dipersembahkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat