Malaysia tingkat hubungan dua hala dengan Rusia

PETALING JAYA: Malaysia dan Russia akan terus meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia Sergei Shoigu yang dalam lawatan kerja ke Malaysia.

“Dalam pertemuan, kami terus membincangkan beberapa perkara penting dalam meningkatkan hubungan dua hala termasuk isu pertahanan, keselamatan, ekonomi, perbankan, sains dan teknologi, keselamatan siber, jaringan perhubungan serta bidang latihan.

“Saya juga berkongsi hasil pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin sewaktu menghadiri Forum Ekonomi Timur pada September 2024, satu platform penting untuk mempelbagaikan usaha diplomasi ekonomi negara dan meningkatkan kerjasama dengan negara anggota melalui inisiatif bersama serta perkongsian strategik,” kongsinya di Facebook pada Khamis.

Anwar turut menzahirkan penghargaan di atas lawatan ini yang bakal membawa kepada kerjasama bermakna pada tahun-tahun mendatang.

Tahun lalu, Datuk Seri Anwar mengunjungi Rusia untuk menghadiri forum ekonomi, dan berkongsi pentas dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Pada 2023, Rusia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Eropah, dengan jumlah dagangan dua hala meningkat sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM14.22 bilion berbanding RM12.3 bilion yang dicatatkan pada tahun 2022.

Anda Mungkin Berminat