AMSTERDAM: Malaysia pergiat usaha meningkatkan pemantauan trafik, keselamatan jalan raya dan pengurusan mobiliti susulan pertambahan jumlah kenderaan serta peluasan rangkaian jalan di seluruh negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kerajaan kini tidak lagi hanya menumpukan kepada pembinaan jalan baharu, sebaliknya memperluaskan penggunaan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) serta platform digital bagi mempertingkat kecekapan pengurusan lalu lintas.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Intertraffic Amsterdam, sambil memaklumkan Malaysia kini mempunyai hampir 296,000 kilometer rangkaian jalan raya serta lebih 5,000 kilometer lebuh raya yang menghubungkan bandar utama, pelabuhan dan koridor ekonomi di seluruh negara.
“Keperluan pengurusan mobiliti yang lebih pintar semakin mendesak memandangkan lebih 1.57 juta kenderaan baharu didaftarkan pada tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam masa sama, penglibatan orang ramai turut membantu pihak berkuasa menangani isu berkaitan jalan raya melalui aplikasi mudah alih MYJalan yang membolehkan pengguna melaporkan kerosakan jalan atau masalah keselamatan secara terus.
“Setakat ini, lebih 54,000 aduan telah diterima dan sebahagian besar daripadanya berjaya diselesaikan.
“Pembangunan infrastruktur perlu memberi manfaat jelas kepada rakyat, contohnya projek jalan Kanowit–Song–Kapit di Sarawak yang kini membolehkan penduduk Kapit melakukan perjalanan darat dalam tempoh kira-kira dua hingga tiga jam.
Jika dibanding dengan sebelum ini yang mengambil masa lebih lama melalui laluan sungai,” katanya lagi.
Kerajaan, katanya, akan terus memperluas rangkaian infrastruktur negara melalui projek seperti Pan Borneo Highway serta pembinaan dan naik taraf lebih 2,800 kilometer jalan luar bandar di bawah 13th Malaysia Plan.
“Mobiliti masa depan bukan sekadar membina lebih banyak jalan, tetapi membangunkan infrastruktur yang lebih pintar, selamat dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara,” katanya.
Baca juga:








