PETALING JAYA: Malaysia kembali menjadi tumpuan Asia Tenggara apabila dipilih sebagai tuan rumah Festival Muzik ASEAN-Korea 2025 (‘ROUND’) yang bakal berlangsung pada 21 dan 22 Jun ini di Zepp Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), penganjuran kali ini amat bermakna kerana sejajar dengan kepengerusian Malaysia bagi ASEAN pada tahun ini serta memperingati 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia–Republik Korea.
Festival ini dianjurkan oleh syarikat hiburan ternama Korea, KBS World dengan tajaan ASEAN-Korea Cooperation Fund (AKCF) serta sokongan Kementerian Luar Negeri Korea dan Sekretariat ASEAN.
“Acara ini dijangka menjadi sebuah pertunjukan budaya yang memukau, menghimpunkan artis-artis terkenal dari seluruh ASEAN dan Korea Selatan,” menurut kenyataan itu.
MOTAC berkata, Malaysia bakal menampilkan barisan artis tersohor negara seperti Marsha Milan, dikenali sebagai Ratu Lagu OST Negara serta kumpulan wanita ikonik, DOLLA yang akan menggamatkan pentas dengan persembahan yang penuh semangat dan warisan.
“Marsha Milan yang dikenali dengan vokal merdu dan penghayatan mendalam, mula mencuri perhatian dunia apabila menyanyikan versi Bahasa Malaysia lagu ‘Let It Go’ dari filem Disney ‘Frozen’.
“Sejak itu, beliau terus bersinar di pentas tempatan dan serantau, membawa nama Malaysia melalui karya muzik yang penuh makna dan warisan budaya.
“DOLLA pula tampil sebagai fenomena budaya pop tempatan, dengan tarian bertenaga, vokal mantap dan lagu-lagu popular yang mencabar stereotaip kumpulan wanita di Asia Tenggara… sekali gus menyerlahkan kreativiti dan semangat progresif belia Malaysia,” katanya.
Festival itu turut menampilkan penyanyi terkenal Korea, Paul Kim, yang akan mengacarakan acara, serta persembahan khas daripada kumpulan Touched dan Dragon Pony.
Dari rantau ASEAN, penonton bakal dihiburkan oleh kumpulan 1st.One dari Filipina dan penyanyi tersohor Kemboja, Tep Boprek bersama barisan artis lain yang memaparkan kepelbagaian warna muzik Asia.
“Festival ROUND kini menjadi simbol kerjasama dan kreativiti ASEAN–Korea.
“Bermula dengan siaran langsung atas talian, ia kini berkembang menjadi acara berskala besar yang telah berjaya memukau penonton di Jakarta dan Vientiane,” menurut MOTAC.
Penganjuran ini juga menjadi sebahagian daripada usaha menyokong Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
“Bertujuan menonjolkan warisan budaya, industri kreatif dan keramahan rakyat Malaysia kepada dunia,” katanya.