Malaysia-Turkiye kerjasama melalui 11 MoU

PUTRAJAYA: Malaysia dan Turkiye memperkukuh kerjasama dengan bertukar 11 memorandum persefahaman (MoU) dalam pelbagai sektor melibatkan kementerian dan agensi.

Pertukaran kesemua MoU tersebut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan meliputi bidang utama seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan dan kolaborasi media.

Antara perjanjian penting yang dimeterai ialah MoU kerjasama dalam peralihan tenaga di antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadilah Yusof dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye, Alparslan Bayraktar.

Dalam bidang pengurusan bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertukar MoU dengan Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD), selain kedua-dua negara turut memeterai perjanjian dalam latihan diplomatik.

Bagi memperkukuh kerjasama saintifik, Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan Malaysia dan Institut Penyelidikan Kutub Turkiye di bawah Majlis Penyelidikan Saintifik dan Teknologi (TUBITAK) bertukar MoU dalam penyelidikan Antartika dan Artik.

Kerjasama dalam sektor pertahanan turut diperkukuh dengan dua perjanjian utama.

Pertamanya perolehan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan penubuhan Jawatankuasa Bersama bagi Produk Pertahanan di antara Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye, Prof Aluk Gorgun.

Keduanya, membabitkan sistem komunikasi strategik di antara Majlis Keselamatan Negara Malaysia dan Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye.

Selain itu, pertukaran MoU di antara Selangor Aviation and Technology Innovation SB dengan Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye dalam pembangunan bandar pintar, sistem trafik, dan keselamatan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam bidang perdagangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia bertukar MoU dengan Kementerian Perdagangan Turkiye yang memberikan tumpuan kepada perlindungan pengguna, pemantauan pasaran dan pemeriksaan.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri Malaysia bertukar perjanjian dengan Desan Shipyard dari Turkiye bagi perolehan kapal misi pelbagai guna untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Dalam sektor media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertukar MoU dengan Radio and Relevision Supreme Council (RTUK) Turkiye bagi kerjasama dalam perkhidmatan media audiovisual.

Sementara itu, BERNAMA dan Anadolu Ajansi turut memeterai perjanjian mengenai kerjasama maklumat dan komunikasi bagi memperkukuh hubungan media kedua-dua negara.

Pertukaran MoU ini menekankan perkongsian yang semakin erat antara Malaysia dan Turkiye serta mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperdalam hubungan strategik, ekonomi dan budaya.

Terdahulu Erdogan yang dalam rangka lawatan dua hari bermula Isnin, diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra pada Selasa.

Lawatan Erdogan adalah atas jemputan Anwar, mengeratkan hubungan kukuh antara kedua-dua negara.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Turkiye ialah RM24.13 bilion (USD5.28 bilion) pada 2024, merekodkan peningkatan 18.7 peratus dari 2023.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat