PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Setiausaha Industri Pertahanan, Sekretariat Industri Pertahanan Presiden Republik Türkiye, Prof. Dr Haluk Görgün, dalam satu pertemuan yang disifatkan sebagai langkah penting memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.
Pertemuan tersebut membuka ruang perbincangan yang lebih konstruktif khususnya dalam aspek pembangunan keupayaan, pemindahan teknologi serta latihan dan pembangunan modal insan sebagai teras kelestarian industri pertahanan negara.
“Pertemuan ini membuka ruang perbincangan yang konstruktif bagi memperkukuh kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Türkiye khususnya dalam aspek pembangunan keupayaan, pemindahan teknologi serta latihan dan pembangunan modal insan sebagai teras kelestarian industri pertahanan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Selain itu katanya, kedua-dua pihak turut menekankan kepentingan memperkasa kerjasama sedia ada yang telah terjalin melalui syarikat-syarikat pertahanan Malaysia dan Türkiye.
“Kami turut menyentuh kerjasama sedia ada yang telah terjalin menerusi syarikat-syarikat pertahanan kedua-dua negara dengan penegasan bahawa usaha ini wajar diperkasakan ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh, berlandaskan prinsip saling melengkapi dan manfaat bersama, selari dengan kepentingan keselamatan serantau serta kedaulatan negara,” katanya.








