Malaysia–Türkiye Sebagai Suara Pengimbang Kuasa Dunia – Anwar

ANKARA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Power Shift: Strategic Choices for Malaysia and Türkiye’ di Ankara yang menekankan keperluan kedua-dua negara untuk tampil sebagai suara pengimbang dalam dunia yang sedang melalui peralihan kuasa global mendalam melibatkan ekonomi, keselamatan, teknologi dan tatakelola antarabangsa.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, aturan lama tidak lagi memadai dalam menghadapi cabaran semasa.

Beliau menyeru Malaysia dan Türkiye untuk bersatu mempertahankan prinsip keadilan khususnya dalam isu penindasan di Gaza dan konflik di Venezuela.

“Malaysia dan Türkiye perlu tampil sebagai suara pengimbang kepada hipokrasi kuasa besar khususnya dalam isu penindasan berterusan di Gaza serta konflik di Venezuela.

“Negara-negara membangun harus sedar bahawa masa depan mereka tidak semestinya bergantung kepada mana-mana kuasa besar secara tunggal,” katanya.

Anwar turut memberi amaran bahawa kemajuan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), mesti dipandu oleh nilai dan kebijaksanaan agar memperkasa manusia, bukan mencipta ketidaksamaan baharu atau menghakis maruah insan.

Beliau menekankan bahawa undang-undang antarabangsa tidak boleh diamalkan secara selektif.

“Kekejaman di Gaza tidak boleh dinormalisasi atau dijadikan ‘preseden’.

“Malaysia dan Türkiye akan terus bersuara, bertindak dan menuntut keadilan,” katanya.

Dalam syarahan tersebut, Anwar menutup dengan penekanan bahawa kerjasama strategik antara Malaysia dan Türkiye adalah penting untuk memastikan hukum terus membatasi kuasa, bukan sebaliknya.

“Tatkala dunia yang sarat persaingan kuasa, Malaysia dan Türkiye mesti memperkukuh kerjasama strategik, mempertahankan prinsip bersama dan memastikan hukum terus membatasi kuasa, bukan sebaliknya,” katanya.

Anda Mungkin Berminat