Malaysia, Turkiye Sepakat Perkukuh Solidariti Palestin

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima panggilan telefon daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan pada petang semalam sempena sambutan Eid al-Adha.

Dalam perbualan tersebut, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan atas keteguhan Erdoğan dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin yang tertindas.

“Saat dunia masih memilih untuk membisu dan bersikap selektif terhadap penderitaan rakyat Gaza, kita tidak boleh berpeluk tubuh,” katanya yang turut menyatakan sokongan penuh Malaysia terhadap pendirian Turkiye yang menggunakan segala keupayaan bagi membela hak dan maruah rakyat Palestin.

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut mengenang kembali kunjungan rasmi Erdoğan ke Malaysia yang bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala tetapi juga mencatatkan salah satu lawatan paling bermakna dalam sejarah diplomatik kedua-dua negara.

“Ia bukan sekadar pertukaran protokol tetapi turut disulami dengan rundingan substantif yang menyentuh kepentingan bersama,” katanya.

Anwar mengangkat lawatan tersebut sebagai lambang keserasian nilai dan hala tuju Malaysia-Turkiye dalam menjunjung keadilan serta pembangunan umat sejagat.

Beliau berkata, dalam semangat Aidiladha yang menekankan erti pengorbanan dan keteguhan, Malaysia beriltizam untuk terus bekerjasama rapat dengan Turkiye bagi membentuk kesatuan strategik yang mampu membawa suara umat ke pentas dunia.

“Malaysia akan terus berdiri bersama Turkiye dalam memungkinkan sebuah dunia yang lebih aman, adil dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat