Malaysia, Turkiye Sepakat Reda Ketegangan Asia Barat

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Khamis bagi membincangkan perkembangan keselamatan di Asia Barat yang semakin meruncing ekoran siri serangan yang menggugat kestabilan rantau itu.

Dalam hantaran di Facebook rasminya, Anwar berkata, Malaysia berdiri teguh bersama Turkiye susulan insiden peluru berpandu balistik yang dilaporkan menuju ke ruang udara negara tersebut.

“Saya menyatakan solidariti Malaysia terhadap Turkiye susulan kejadian peluru berpandu balistik yang menuju ke arah ruang udara negara itu, menggambarkan betapa rapuhnya keselamatan rantau berkenaan ketika ini,” katanya.

Perbualan itu turut menyentuh insiden pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran termasuk pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.

Anwar menekankan bahawa perkembangan tersebut berpotensi menjerumuskan Asia Barat ke dalam ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan.

“Peristiwa ini berisiko menjerumuskan Asia Barat ke dalam ketidaktentuan yang serius serta berpanjangan.

“Semua pihak perlu menunjukkan tahap kawalan diri dan kebijaksanaan tertinggi bagi mengelakkan keadaan terus meruncing,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menyeru semua pihak menurunkan ketegangan serta menghentikan sebarang serangan yang boleh mencetuskan ketidakstabilan lebih luas melangkaui Asia Barat.

“Pendekatan berteraskan dialog dan diplomasi mesti menjadi keutamaan dalam menangani krisis yang semakin memuncak ini,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar turut menyentuh isu Palestin dengan menyatakan penghargaan terhadap pendirian Turkiye dan beberapa negara lain yang mengutuk keputusan Israel memperluas penempatan haram di Tebing Barat.

“Pendirian Malaysia jelas bahawa tindakan rejim Zionis itu merupakan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa,” kata Anwar.

Anda Mungkin Berminat