Malaysia Umum Pencalonan Semula ke Majlis ITU Bagi Penggal 2027–2030

PETALING JAYA: Malaysia secara rasmi mengemukakan pencalonannya untuk pemilihan semula ke Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027–2030.

Ia sekali gus menegaskan komitmen berterusan negara dalam pembangunan dasar komunikasi dan digital global.

Pengumuman itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika berucap di Acara Peringkat Tinggi Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20) yang berlangsung di Geneva, Switzerland.

“Alhamdulillah, bagi pihak Malaysia, saya telah mengumumkan secara rasmi pencalonan negara untuk pemilihan semula ke Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027–2030,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia terus menunjukkan peranan aktif dalam ITU menerusi inisiatif global seperti Partner2Connect, pengerusian Kumpulan Kajian ITU dan pelaksanaan program pembinaan kapasiti digital.

Kata Fahmi, negara komited untuk memperluas akses digital kepada semua lapisan masyarakat dan memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam arus kemajuan teknologi.

Sebagai ahli Majlis ITU untuk penggal semasa 2023–2026, beliau berkata, Malaysia menyumbang secara langsung kepada pembangunan dasar strategik ITU, mewakili kepentingan rantau Asia dalam bidang telekomunikasi dan mengukuhkan pengaruh diplomatik dalam arena digital global.

Untuk info, ITU ialah agensi khusus di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berperanan dalam merangka piawaian global komunikasi, mengurus spektrum frekuensi radio dan merapatkan jurang digital secara inklusif di seluruh dunia.

Anda Mungkin Berminat