Malaysia undur diri dari beraksi di Piala Negara-Negara (CAFA) 2025

Oleh: Tyah Helmi

MALAYSIA menarik diri daripada menyertai Piala Negara-Negara (CAFA) 2025 ekoran perubahan tarikh kejohanan yang kini terletak di luar kalendar rasmi FIFA.

Perkara itu disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan media hari ini bahawa keputusan itu adalah strategik agar dapat memberi fokus persiapan menjelang aksi penting pada Oktober dan November nanti.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, menjelaskan bahawa pada awalnya pasukan amat teruja untuk menyertai kejohanan tersebut, namun perubahan tarikh penganjuran memberikan cabaran besar kepada pasukan dari pelbagai sudut.

“Tarikh baharu kejohanan iaitu dari 29 Ogos hingga 8 September kini bermula di luar jendela rasmi FIFA.

“Ini menyukarkan kami untuk mendapatkan pemain kerana kelab-kelab tidak mempunyai obligasi melepaskan mereka,” katanya.

Jelas Peter lagi, beberapa pemain tonggak utama daripada skuad negara kini beraksi di liga utama antarabangsa seperti di Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun.

“Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia & Jepun.

“Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, tumpuan skuad kebangsaan kini terarah kepada kem latihan antarabangsa pada jendela September, sebagai persiapan rapi menghadapi perlawanan penting bagi menentang Laos dan Nepal pada bulan Oktober dan November kelak.

“Ini adalah satu keputusan yang tepat dan strategik. Fokus kami kini beralih sepenuhnya kepada kem latihan pada jendela September sebagai persiapan terbaik menjelang aksi penting pada Oktober dan November, perlawanan menentang Laos dan Nepal.” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat