Malaysia Ungguli Carta Data Terbuka Dunia – DOSM

PETALING JAYA: Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tangga pertama di peringkat global dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) bagi tahun 2024 dan 2025, mengatasi 197 negara lain.

Pengiktirafan itu diumumkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, yang menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti komitmen negara terhadap keterbukaan data dan ketelusan statistik.

Susulan pencapaian tersebut, kerajaan telah mengisytiharkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara dengan tema ‘Statistik Nadi Kehidupan’.

Ia akan disambut serentak dengan Hari Statistik Dunia Keempat yang bertemakan ‘Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone’.

Mohd Uzir turut memperkenalkan OpenDOSM NextGen, sebuah platform interaktif yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai maklumat.

Portal ini boleh diakses melalui https://open.dosm.gov.my.

Dalam kenyataan sama, Mohd Uzir menjangkakan ekonomi Malaysia berada dalam fasa momentum yang mereda, berdasarkan arah aliran jangka panjang terlicin bagi Jun 2025 yang kekal di bawah paras 100.0 mata.

“Walaupun disokong oleh asas domestik yang kukuh, prospek ekonomi turut dipengaruhi oleh cabaran luaran yang berterusan,” katanya.

Namun begitu, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan prestasi semasa ekonomi menunjukkan peningkatan 1.7 peratus kepada 128.2 mata pada Jun 2025, berbanding 126.1 mata dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan ini disumbangkan oleh pengukuhan kesemua komponen IS khususnya Nilai Caruman Benar KWSP yang mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 6.1 peratus.

“Secara bulanan, IS turut meningkat 0.4 peratus, disokong oleh pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian sebanyak 0.3 peratus,” kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia bakal mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) tahun ini, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Inisiatif itu bertujuan memperkukuh kerjasama statistik ke arah pembangunan serantau yang mampan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat