Malaysia–Vietnam Perkukuh Kerjasama Tenaga Hijau, Lonjak Pelaburan Baharu

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Vietnam kini melangkah ke fasa baharu kerjasama strategik dengan memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga boleh baharu khususnya menerusi projek Gentari–TNB–Petrovietnam yang memfokuskan kepada tenaga angin dan solar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen bersama itu dimeterai selepas beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Phạm Minh Chính bagi membincangkan hala tuju hubungan kedua-dua negara.

“Kami komited untuk memperkukuh kerjasama tenaga hijau melalui inisiatif Gentari–TNB–Petrovietnam yang mampu membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Menurut Anwar, pertemuan itu turut membuka ruang kepada perbincangan lebih luas meliputi sektor perdagangan, pelaburan, elektrik dan elektronik (E&E), kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta industri halal.

“Kami turut membincangkan potensi besar dalam sektor teknologi tinggi seperti AI dan semikonduktor yang mampu membuka peluang pelaburan baharu,” katanya lagi.

Beliau menambah, pelan tindakan baharu yang dibincangkan sejajar dengan aspirasi Malaysia dan Vietnam untuk muncul sebagai peneraju tenaga boleh baharu di rantau ASEAN, sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Dalam semangat diplomasi serantau, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai isu-isu penting seperti keselamatan makanan, jenayah rentas sempadan, ketegangan di Laut China Selatan serta perkembangan terkini di Myanmar.

“Kedua-dua negara sepakat untuk terus memelihara keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” ujarnya.

Anwar turut menzahirkan keyakinan bahawa hubungan erat Malaysia–Vietnam akan terus berkembang, bukan sahaja dalam bidang ekonomi dan teknologi tetapi juga dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat.

Anda Mungkin Berminat