PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh berbangga dengan pertumbuhan ekonomi negara sekiranya rakyat masih terpaksa tinggal di rumah daif dan tidak selesa.
“Bagaimana kita boleh catat pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan tetapi perumahan rakyat kekal daif?
“Saya tidak boleh terima. Rumah rakyat mesti dibangunkan dengan lebih baik dan selesa,” katanya ketika menjawab soalan tambahan berhubung Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar (PSB) di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menurut Anwar, pengalaman beliau melihat keadaan rumah kos rendah lama di ibu kota termasuk flat Seri Perlis dan Kampung Kerinchi menunjukkan banyak kediaman tidak lagi sesuai dihuni walaupun secara teknikal masih dianggap ‘kukuh’ oleh Jabatan Kerja Raya.
“Kalau ada rumah satu bilik didiami dua keluarga dengan enam anak, kita tak boleh terus biarkan.
“Prinsip kita ialah menggantikan rumah lama dengan rumah lebih baik, minimum tiga bilik,” jelasnya.
Menjawab kebimbangan pembangkang mengenai tempoh ambang 30 tahun untuk merobohkan dan membangunkan semula rumah, Anwar menjelaskan angka itu boleh diperhalusi ketika pembentangan nanti.
“Legislasi ini mesti ada. Kalau perlu dinaikkan kepada 80 peratus persetujuan penduduk, kita boleh bincang.
“Tapi jangan tuduh kerajaan khianat rakyat. Saya ulang, saya bukan boneka mandat saya ialah pertahan kepentingan rakyat, khususnya orang Melayu bandar yang majoritinya masih dalam rumah daif,” katanya.
Beliau turut menegaskan PSB memberi jaminan bahawa pemilik rumah lama akan diganti dengan unit yang lebih baik, manakala penyewa lama turut diberi pertimbangan khas.
Anwar turut memaklumkan sehingga 30 Jun 2025, sebanyak 197,311 unit rumah mampu milik telah siap dibina.
Tambahan 217,371 unit kini dalam pembinaan, manakala 79,192 unit sudah mendapat kelulusan merancang.
“Jumlah keseluruhan 493,874 unit, iaitu 98.8 peratus daripada sasaran RMK-12.
“Baki sekitar 6,126 unit insya-Allah dapat disiapkan,” katanya.








