Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan Madani akan terus memperkukuh kesejahteraan rakyat Sarawak menerusi pelaburan strategik, pembangunan ekonomi inklusif serta pewujudan peluang pekerjaan baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, kerajaan turut memberi komitmen penuh terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk pengurusan sumber minyak dan gas yang lebih adil bagi memastikan manfaat ekonomi sampai secara langsung kepada rakyat di negeri itu.
“Kerajaan Madani terus memacu kesejahteraan rakyat Sarawak melalui pelaburan strategik, pembangunan ekonomi inklusif dan pembukaan peluang pekerjaan baharu,” katanya di laman rasmi Facebooknya pada Khamis.
Anwar berkata, setiap inisiatif yang dirangka dan dilaksanakan adalah berteraskan matlamat membina Sarawak yang lebih maju, mampan dan sejahtera demi manfaat hari ini serta generasi akan datang.
“Komitmen penuh terhadap MA63 dan pengurusan sumber minyak yang adil akan terus dilaksanakan bagi memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat Sarawak,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa transformasi pembangunan yang sedang dilaksanakan mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan kemajuan Sarawak seiring dengan agenda Malaysia Madani.
“Transformasi nyata untuk rakyat Sarawak sedang berjalan, dan kita semua adalah sebahagian daripada perjalanan ini,” tambahnya.
Baca juga:







