JOHOR BAHRU: Manfaat projek Gemas–Johor Bahru Electrified Double-Tracking Project (EDTP) mesti sampai kepada komuniti setempat khususnya penduduk yang tinggal berhampiran stesen-stesen baharu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, setiap stesen mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai hab ekonomi, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kita telah menyiapkan satu rangkaian pengangkutan penting untuk pembangunan negara dan Johor.
“Cabaran sekarang ialah memastikan manfaat ini benar-benar dirasai rakyat,” katanya ketika melancarkan EDTP di Stesen Kempas Baru, pada Khamis.
Projek sepanjang 192 kilometer itu merangkumi 11 stesen baharu dan direka bagi meningkatkan mobiliti serta hubungan antara Johor dan Lembah Klang.
Ia dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi pesat negeri Johor.
Anwar berkata, pendekatan itu selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang menekankan pembangunan disertai tanggungjawab moral untuk mengangkat kesejahteraan rakyat.
“Kita akan memanfaatkan kemudahan ini bagi menjana hasil tambahan kepada negara dan mengangkat status Malaysia,” katanya.
Terdahulu, perkhidmatan Electric Train Service (ETS) antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur dilancarkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Untuk info, KTM Berhad akan menyediakan empat perjalanan harian antara KL Sentral dan JB Sentral bermula Jumaat (esok), menawarkan pilihan perjalanan lebih cepat dan selesa kepada penumpang.








