Manfaat Simpan SSPN, Waris Terima Lebih RM100,000

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menziarahi keluarga mendiang Poovan Arumugam, Ketua Penolong Pengarah Pusat Pembangunan Kepimpinan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), yang meninggal dunia pada 25 Jun lalu.

Pemergian mendiang bukan sahaja dirasai oleh keluarga tercinta tetapi juga oleh seluruh warga AKEPT yang mengenali dedikasi dan keprihatinannya.

Namun, di sebalik kesedihan itu, waris mendiang menerima sinar harapan melalui manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian Simpan SSPN yang mencecah lebih RM100,000 hasil perancangan kewangan mendiang yang bijak dan berpandangan jauh.

Dalam Program Ziarah Kasih Simpan SSPN yang berlangsung di kediaman keluarga mendiang semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir menyantuni balu mendiang, Sivagami Vairavan serta menyampaikan surat dan replika kad manfaat perlindungan takaful Simpan SSPN.

Melalui akaun Simpan SSPN Prime atas nama sendiri dan tiga anak, mendiang layak menerima manfaat perlindungan takaful sebanyak RM1,822.56 dan khairat kematian RM3,000.00 yang menjadikan jumlah keseluruhan RM4,822.56.

Lebih mengharukan, mendiang turut membuka tiga akaun Simpan SSPN Plus untuk anak-anak di bawah Pakej Topas dan Delima dengan caruman hanya RM30 sebulan.

Komitmen itu membolehkan waris menerima manfaat perlindungan takaful sebanyak RM90,000.00 dan khairat kematian RM9,000.00 yang menjadikan jumlah manfaat Simpan SSPN Plus sebanyak RM99,000.00.

Jumlah keseluruhan manfaat yang diterima waris ialah sebanyak RM103,822.56.

Program Ziarah Kasih itu bukan sekadar memperingati jasa pendeposit tetapi juga menyampaikan mesej penting mengenai perancangan kewangan berasaskan simpanan dan perlindungan takaful yang ditawarkan oleh PTPTN melalui Simpan SSPN.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengarah AKEPT, Dr Harshita Aini Haroon.

Anda Mungkin Berminat