Mangsa banjir di Johor terima bantuan RM3,000

JOHOR BAHRU: Seramai 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) di Johor akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM3,000 setiap seorang. Bantuan berjumlah RM11.2 juta itu akan disalurkan secara serentak di enam daerah terjejas pada 27 Mac ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata bantuan khas ini adalah komitmen kerajaan negeri dalam membantu mangsa banjir yang mengalami kesulitan akibat bencana tersebut.

“Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh mangsa banjir, lebih-lebih lagi dengan Aidilfitri yang semakin hampir. Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mereka dan membantu dalam proses pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain bantuan kepada mangsa banjir, kerajaan negeri turut memperuntukkan lebih RM43.5 juta untuk pelbagai inisiatif sempena Aidilfitri, termasuk Bantuan Hari Raya sebanyak RM18.4 juta kepada lebih 90,000 penerima asnaf fakir dan miskin.

“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela, bukan sahaja bagi mereka yang terjejas akibat bencana tetapi juga golongan memerlukan yang lain,” tambahnya.

Bagi membantu persiapan perayaan, program Jualan Kasih Johor turut diperkenalkan dengan peruntukan RM1.6 juta, memberi manfaat kepada 200,000 pengunjung. Inisiatif bakul makanan Aidilfitri juga disediakan kepada lebih 15,000 penerima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK).

Selain itu, tajaan pengangkutan turut disediakan untuk membantu mahasiswa Johor pulang ke kampung halaman.

“Sebanyak 30 bas akan disediakan untuk membawa 550 mahasiswa pulang beraya bersama keluarga mereka,” katanya.

Anda Mungkin Berminat