Mangsa banjir di Kelantan naik lebih 3,200 orang

Oleh: Tyah Helmi

KOTA BHAU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat lebih kepada 3,200 orang manakala di Terengganu tidak berubah setakat 8 malam tadi.

Difahamkan, kesemua mangsa melibatkan penduduk di Kota Bharu, Bachok dan Tumpat yang berlindung di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam satu kenyataan memaklumkan, lima lembangan sungai utama di negeri itu berisiko berdepan peningkatan paras air sekiranya hujan lebat berterusan.

Ia melibatkan Jajahan Pasir Mas iaitu Lembangan Sungai Kelantan (Sungai Kelantan), Pasir Puteh – Lembangan Sungai Semerak (Sungai Semerak dan Sungai Buaya Ikat), Kota Bharu – Lembangan Sungai Kelantan (Sungai Kemasin dan Sungai Kelantan).

“Bachok iaitu Lembangan Sungai Semerak (Sungai Kemasin dan Sungai Semerak), Kuala Krai – Lembangan Sungai Kelantan (Sungai Lebir) dan Tumpat – Lembangan Sungai Kelantan (Sungai Golok dan Sungai Kelantan),” katanya,

Sementara itu di Negeri Terengganu, keadaan banjir gelombang pertama di situ masih tidak berubah sejak petang tadi dengan jumlah mangsa kekal 276 orang berlindung di PPS Masjid Kampung, Pulau Redang.

Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan operasi bencana yang mengarahkan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat buruk di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan bermula hari ini hingga 24 Nov.

Amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar) untuk tempoh sama, manakala situasi serupa diramal di Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang) dan Terengganu hingga 26 Nov.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat