Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus berkurangan kepada 4,594 daripada 1,492 keluarga yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini setakat jam 9 pagi ini.
Jumlah itu menurun berbanding 5,478 mangsa daripada 1,750 keluarga yang dilaporkan setakat jam 11 malam tadi.
Menerusi laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), empat daerah masih terjejas banjir ialah Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Pokok Sena.
Berdasarkan laman web Publik Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, bacaan paras air Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar melepasi paras amaran jam 9 pagi ini.
Selain itu, bacaan paras air Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di daerah Kota Setar juga melepasi paras amaran.
Sungai Bata di Kampung Bata daerah Kubang Pasu pula mencatatkan bacaan melepasi paras waspada setakat ini.