Mangsa Banjir Naik 19,422 Orang Di Lapan Negeri, Kelantan Paling Terjejas

PETALING JAYA: Malaysia terus berdepan gelombang banjir apabila jumlah mangsa meningkat kepada 19,422 orang setakat pukul 10 pagi Selasa, menurut Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NADMA).

Seramai 6,554 keluarga kini ditempatkan di 112 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lapan negeri iaitu Kelantan, Perlis, Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang.

Bagaimanapun, NADMA berkata, sehingga kini tiada kehilangan nyawa direkodkan sejak bermulanya musim banjir tahun ini.

Kelantan kekal merekodkan jumlah mangsa yang tertinggi iaitu sebanyak 9,981 orang yang ditempatkan di 40 PPS.

Antara daerah di Kelantan yang terjejas termasuk Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Perlis pula menjadi negeri kedua paling terjejas dengan 2,644 mangsa di 11 PPS, manakala Perak mencatatkan 2,604 mangsa di 28 PPS melibatkan daerah Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak, Muallim, Larut, Matang dan Selama.

Di Pulau Pinang, 377 mangsa ditempatkan di empat PPS melibatkan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.

Selangor turut mencatatkan peningkatan dengan 2,119 mangsa daripada 590 keluarga di 15 PPS meliputi Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Hulu Langat dan Petaling.

Kedah merekodkan 1,576 mangsa daripada 581 keluarga di 12 PPS melibatkan Kubang Pasu dan Kulim.

Sementara itu, Terengganu melaporkan jumlah paling kecil dengan 98 mangsa daripada 38 keluarga yang ditempatkan di satu PPS di daerah Besut.

Anda Mungkin Berminat