Mangsa Banjir Sabah Turun Kepada 6,462 Orang Setakat Pagi Ini

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah menunjukkan sedikit penurunan apabila seramai 6,462 orang daripada 2,124 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.

Angka itu berkurangan berbanding 6,595 orang daripada 2,173 keluarga yang direkodkan semalam (Sabtu).

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, sebanyak 30 PPS masih beroperasi di tiga daerah terjejas iaitu Beaufort, Membakut dan Tenom.

Daerah Tenom kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 4,931 orang, diikuti Beaufort seramai 1,462 orang dan Membakut 69 orang.

Walaupun jumlah mangsa menurun, kawasan terjejas akibat banjir di ketiga-tiga daerah berkenaan masih melibatkan 155 kampung.

Beaufort dan Membakut yang terletak di Pantai Barat Sabah sering berdepan banjir ketika musim hujan berpanjangan, manakala Tenom di kawasan Pedalaman negeri itu turut berisiko tinggi kerana kedudukannya berhampiran sungai utama.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau kematian dilaporkan.

Pihak berkuasa terus memantau keadaan semasa dan memastikan kebajikan mangsa di PPS terjamin termasuk penyediaan makanan, keperluan asas serta sokongan kesihatan.

Anda Mungkin Berminat