Dua mangsa nahas pesawat terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar telah dikenal pasti setelah usaha mengeluarkan mereka yang tertimbus sedalam 1.52 meter dalam tanah.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dua mangsa nahas pesawat ringan telah dikenal pasti iaitu Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 dan Roshaan Singh Raina, 42.
“Siasatan awal ketika ditempat kejadian, mendapati pesawat telah menjunam ke dalam Ladang Kelapa Sawit hingga menyebabkan 45 peratus badan pesawat terbenam di dalam tanah.
“Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian (dalam pesawat),” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, kedua-dua mangsa ditemukan berada dalam kokpit pesawat yang tertimbus di dalam tanah.
Difahamkan, jasad kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dan operasi berkenaan berakhir pada pukul 7.35 malam Selasa, dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dibedah siasat.
Sebelum ini Malaysia Bangkit melaporkan, pesawat ringan jenis BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC telah terhempas di Kampung Tok muda, Kapar, melibatkan dua orang mangsa iaitu juruterbang dan pembantunya.
Pesawat berkenaan yang dikendalikan oleh Air Adventure Flying Club telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.
Komunikasi terakhir pesawat dengan Pegawai Kawalan Trafik Udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang, namun, tiada panggilan kecemasan yang diterima.
Baca juga: