Mangsa Ribut Di Kuantan Dapat Bantuan Awal PM

KUANTAN: Lapan buah tapak niaga di Kampung Padang, Kuantan mengalami kerosakan teruk akibat ribut yang melanda kawasan tersebut pada Khamis lalu sehingga menyebabkan para peniaga terjejas dan mengalami kerugian.

Susulan kejadian, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi bersama pasukannya telah turun padang bagi meninjau sendiri keadaan tapak niaga yang rosak serta mendengar keluhan para peniaga yang terkesan.

“Usai menerima laporan, saya bersama pasukan telah ke sana bagi melihat sendiri kerosakan yang berlaku serta mendengar sendiri keluhan para peniaga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam usaha segera membantu, beliau berkata, sejumlah bantuan awal telah disalurkan dengan sokongan Perdana Menteri melalui kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

“Alhamdulillah, dengan dukungan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, sejumlah bantuan awal segera dapat disalurkan yang diharapkan meringankan sedikit beban kerugian yang dialami,” katanya.

Ahmad Farhan turut menyatakan komitmen untuk memastikan para peniaga dapat kembali bangkit dan meneruskan perniagaan mereka.

“Insya-Allah, usaha ini menjadi permulaan agar lapan peniaga di Kampung Padang dapat bangkit kembali dan memulakan semula perniagaan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat