Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar tampil menegaskan untuk pertandingan itu kali ini beliau membawa pendekatan kerja berasaskan perancangan jelas dan boleh dipantau, berbanding sekadar retorik politik.
Naim Moktar berkata, lebih sedekad beliau terlibat dalam parti serta pengalaman turun padang menyantuni masyarakat di kampung-kampung memberi kefahaman mendalam terhadap tekanan kos sara hidup dan keterbatasan peluang yang dihadapi rakyat setempat.
“Rakyat tidak akan meminta-minta jika mereka mempunyai kemampuan yang mampan. Itu adalah satu realiti,” katanya.
Tegas beliau, kehadirannya dalam PRK Kinabatangan bukan untuk menabur janji manis, sebaliknya membawa pelan kerja yang boleh diaudit, dipantau dan dipersoalkan oleh rakyat.
Walaupun mengakui dirinya masih muda dan baharu dalam gelanggang pilihan raya, Naim yakin keikhlasan yang disertai perancangan rapi mampu mengatasi janji kosong yang sering diulang-ulang.
“Saya mahu Kinabatangan bergerak ke hadapan dengan kerja, bukan retorik; dengan keberanian membuat keputusan, bukan alasan; dan dengan kejujuran memimpin, bukan kepentingan diri,” ujarnya.
Justeru, beliau mengajak rakyat Kinabatangan dapat menilai kepimpinannya berdasarkan hasil serta menegurnya sekiranya tersasar, sambil menegaskan bahawa Kinabatangan adalah amanah seumur hidup yang dipikulnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggariskan sembilan manifesto utama yang menjadi teras tawarannya kepada pengundi Kinabatangan.
Antara janji utama ialah penubuhan Majlis Pembangunan Strategik Kinabatangan (MPSK) bagi merancang dan memantau pembangunan Parlimen Kinabatangan dengan penglibatan wakil pembangkang, selain penempatan pejabat perhubungan di setiap DUN Sukau, Lamag dan Tongod.
Beliau juga berjanji membentangkan laporan kewangan Parlimen P.187 Kinabatangan setiap enam bulan serta mewujudkan pusat pengumpulan hasil laut dan sungai bagi meningkatkan ekonomi komuniti setempat.
Manifesto lain termasuk penyediaan khidmat pengangkutan awam Kinabatangan, penubuhan Yayasan Kebajikan Kinabatangan (YAKIN), pembinaan hab pelancongan dan budaya Kinabatangan, serta transformasi pusat daerah mengundi (PDM) pilihan raya sebagai laman stay belia.
Selain itu, memperkenalkan Program UntungTVET dengan penambahan pusat latihan kemahiran, serta pelaksanaan program e-tuisyen kepada pelajar cemerlang berdaftar yang akan dibekalkan sebuah tablet.
PRK Parlimen Kinabatangan dijangka menjadi tumpuan apabila calon-calon tampil menawarkan pendekatan baharu dalam usaha memacu pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan itu.
Baca juga:








