MAPIM Gesa Media Malaysia Bersatu, Kecam Pembunuhan Wartawan Palestin

PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa wartawan dan pengamal media Malaysia untuk bersatu mengecam tindakan kejam rejim Israel yang didakwa membunuh lebih 200 wartawan Palestin sejak bermulanya serangan ke atas Gaza.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan pembunuhan 213 wartawan termasuk Nour Al-Din Matar Abdo yang terkini, bukan sekadar “kerosakan sampingan” tetapi satu usaha terancang untuk memusnahkan suara kebenaran di wilayah bergolak itu.

“Wartawan bukan sekadar pemerhati peristiwa dunia. Mereka adalah benteng utama pembela kebenaran. Diam ketika berlaku pembunuhan beramai-ramai adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap etika kewartawanan,” tegas beliau.

Dalam kenyataan sama, MAPIM turut mengemukakan lima tuntutan berhubung tindakan rejim Israel yang melakukan serangan sistematik ke atas kebebasan media.

Katanya, MAPIM menggesa semua persatuan media Malaysia mengeluarkan kenyataan bersama mengecam pembunuhan wartawan di Gaza.

“Selain itu, sidang tergempar oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) dan kesatuan lain untuk membincangkan langkah perlindungan bagi wartawan Palestin.

“Memboikot media dan syarikat teknologi yang didakwa bersubahat menutup jenayah Israel dan melancarkan kempen solidariti global dari Malaysia dengan slogan “Kebenaran Di Bawah Serangan: Kewartawanan Bukan Jenayah”,” katanya.

MAPIM turut menggesa agar satu memorandum rasmi diserahkan kepada Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) untuk mendesak pendakwaan jenayah perang terhadap rejim Israel.

MAPIM juga menyeru Kementerian Komunikasi dan Digital agar mengeluarkan kecaman rasmi terhadap pembunuhan wartawan dan menyaran semua agensi penyiaran utama termasuk RTM, TV3, Astro Awani dan BERNAMA agar menyiarkan segmen khas sebagai penghormatan kepada wartawan yang terbunuh.

Fakulti kewartawanan di universiti turut digesa menganjurkan wacana dan program kesedaran berkaitan etika kewartawanan di bawah tekanan perang dan penindasan.

“Genosid terhadap wartawan Palestin bukan sekadar serangan terhadap rakyat Gaza, tetapi juga serangan terhadap kemanusiaan dan semangat kewartawanan itu sendiri,” ujar Mohd Azmi.

Anda Mungkin Berminat