PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam artikel Murray Hunter bertajuk “The Beginning of the End for Anwar Ibrahim”, yang disifatkan sebagai cubaan menggugat kestabilan negara melalui naratif spekulasi serta manipulasi fakta.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, menyatakan bahawa gaya penulisan Hunter menunjukkan ciri-ciri serangan psikologi politik (psyops), dengan naratif berulang dibina tanpa bukti kukuh untuk mencetuskan persepsi kegagalan kerajaan.
Menurutnya ini adalah strategi halus yang berpotensi merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara.
“MAPIM turut menolak pendekatan Hunter yang menggunakan komen-komen di media sosial sebagai ukuran sentimen rakyat terhadap institusi diraja dan Perdana Menteri.
“Bagi MAPIM, perbuatan melibatkan institusi diraja dalam naratif politik adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan keharmonian serta kestabilan perlembagaan negara.
“Dalam isu kes sivil yang belum diputuskan, MAPIM menegaskan bahawa tiada sesiapa harus dijatuhkan hukuman melalui persepsi awam. Menggunakan dakwaan moral sebagai alat politik tanpa melalui proses undang-undang yang adil adalah amalan yang berbahaya dan bercanggah dengan prinsip keadilan Islam,” katanya dalam kenyataan media.
Menyentuh tentang ekonomi, Azmi menyifatkan kritikan Hunter sebagai tidak seimbang dan mengabaikan faktor luaran global seperti inflasi pasca pandemik dan konflik geopolitik.
“MAPIM menegaskan bahawa langkah-langkah pembaharuan fiskal seperti pelarasan SST adalah tindakan berani demi kestabilan jangka panjang negara.
“Anwar sedang memimpin sebuah kerajaan pasca-krisis yang memerlukan masa untuk membina semula institusi dan ekonomi.
“Reformasi sebenar tidak berlaku dalam sekelip mata, dan usaha pentadbiran hari ini menunjukkan komitmen terhadap ketelusan, integriti dan pemulihan sistem,” katanya lagi.
Ujarnya lagi, rakyat Malaysia harus mendukung proses demokrasi yang sah, memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan reformasi dan menilai prestasi pemimpin melalui peti undi, bukan melalui blog berunsur sabotaj politik.
Terdahulu, penulisan oleh Murray Hunter mengkritik ekonomi negara jatuh menjunam di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baca juga: