PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama tiga badan bukan kerajaan (NGO) utama mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran yang didakwa menggunakan senjata berpaksikan nuklear.
Dalam kenyataan media yang turut disokong oleh Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (MANAR), Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM), MAPIM menyifatkan serangan itu sebagai satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta ancaman kepada keamanan sejagat.
“Alasan yang diberikan kononnya untuk menghalang Iran memiliki senjata nuklear (adalah) alasan yang telah banyak kali digunakan.
“Hakikatnya, Iran masih merupakan penandatangan sah kepada Perjanjian Tidak Penyebaran Senjata Nuklear (NPT) dan mematuhi fatwa agama yang dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi negara itu yang melarang pembangunan senjata nuklear,” katanya.
Menurut MAPIM, Iran telah menjadi sasaran pengeboman sebanyak dua kali oleh kuasa nuklear tanpa sebarang mandat sah daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
MAPIM juga berkata, tindakan itu memberi mesej yang membimbangkan kepada dunia, seolah-olah ia bukan hanya serangan terhadap Iran tetapi juga terhadap umat Islam dan kemanusiaan sejagat.
“Tindakan mereka menggalakkan negara-negara lain untuk memiliki senjata nuklear sebagai satu-satunya cara untuk mempertahankan diri daripada serangan awal,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, MAPIM menyifatkan Presiden AS, Donald Trump sebagai individu yang membawa ancaman besar kepada umat Islam dan kemanusiaan global.
“MAPIM menuntut tindakan keadilan terhadap Donald Trump dan pemimpin Israel melalui mekanisme jenayah perang antarabangsa,” tegasnya.
Sehubungan itu, MAPIM menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama termasuk melindungi kedaulatan Iran serta hak negara bukan nuklear daripada sebarang paksaan ketenteraan.
“Menegaskan komitmen global terhadap pelucutan senjata nuklear dan mendukung pendekatan diplomasi aman.
“Mendesak agar sidang tergempar PBB diadakan untuk membincangkan pelanggaran terhadap NPT dan undang-undang antarabangsa,” tambahnya.