PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengumumkan pelaksanaan projek rintis dengan melantik warden sepenuh masa dari kalangan bekas pegawai tentera dan polis di beberapa Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah ini bertujuan memperkukuh disiplin pelajar dan mencapai matlamat ‘Sifar Buli’ di institusi pendidikan tersebut.
“Cadangan ini telah saya bangkitkan dalam Majlis MARA dan telah dipersetujui sebulat suara.
“Buat permulaan ini, projek rintis (pilot) akan dimulakan dengan melibatkan beberapa MRSM bagi melihat dan mengkaji keberkesanan inisiatif ini,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebagai langkah proaktif, kata Asyraf, MARA akan bekerjasama dengan Persatuan Veteran Tentera dan bekas polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan warden.
Bahagian Pendidikan Menengah MARA juga akan menyediakan garis panduan yang jelas berkenaan terma-terma rujukan (TOR) tanggungjawab dan bidang tugas warden di MRSM, tambahnya.
“Inisiatif ini penting untuk memastikan pembangunan sahsiah, disiplin dan akhlak pelajar-pelajar MRSM sentiasa dapat diperkasakan seiring dengan falsafah pendidikan yang mahu melahirkan generasi yang cemerlang secara holistik dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
“Ini juga bagi memastikan matlamat MARA untuk SIFAR BULI di MRSM benar-benar mampu direalisasikan,” tegas Asyraf.
Cadangan ini pernah dibangkitkan Asyraf bagi membendung sepenuhnya budaya buli di institut berkenaan.
Keputusan itu berdasarkan syor dibuat Jawatankuasa Disiplin MRSM susulan kes buli terkini membabitkan pelajar MRSM yang berlaku di Pulau Pinang yang mana videonya turut tular di media sosial.
Rakaman video berdurasi 1 minit 31 saat itu memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.
Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada punggung.
Kesemua pelajar yang terlibat dalam insiden buli itu bagaimanapun sudah dikenakan tindakan.
Baca juga: