PETALING JAYA: Serentak di 47 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh Semenanjung Malaysia, satu program kesedaran undang-undang dilancarkan pada Isnin bagi membendung gejala buli, salah laku seksual serta penyalahgunaan dadah dan vape dalam kalangan pelajar.
Inisiatif itu digerakkan oleh Majlis Peguam Malaysia dengan kerjasama Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sebagai usaha memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang implikasi undang-undang terhadap salah laku yang sering berlaku dalam kalangan remaja.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesedaran tentang batas undang-undang amat penting dalam membentuk pelajar yang berdisiplin dan bertanggungjawab.
“Hubungan seksual walaupun suka sama suka di bawah 18 tahun tetap kesalahan jenayah rogol atau ‘statutory rape’.
“Buli juga merupakan satu kesalahan jenayah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ezry Wahab dan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Malaysia, Dr Farah Nini Dusuki atas usaha menggerakkan sukarelawan peguam dari seluruh negara ke MRSM, lengkap dengan modul pendidikan khas.
Program yang dirancang dalam tempoh dua minggu itu mendapat sokongan penuh daripada pihak MARA, yang menyifatkannya sebagai langkah proaktif dan berkesan dalam menangani isu sosial di sekolah berasrama penuh.
“Terima kasih kepada Majlis Peguam dan SUHAKAM atas kesediaan turun padang secara sukarela.
“Inisiatif ini amat penting bagi membentuk pelajar yang berdisiplin dan memahami batas undang-undang,” katanya.
Kempen itu juga menjadi sebahagian daripada usaha MARA untuk mensifarkan fenomena buli dan perlakuan jenayah lain di MRSM, demi melahirkan generasi masa depan yang seimbang, beretika dan holistik.







