MARDI Perkenal Varieti Padi Baharu MR333 Tahan Penyakit

PETALING JAYA: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan varieti padi baharu MR333 yang berpotensi menghasilkan sehingga 9.9 tan sehektar, sekali gus menyumbang kepada bekalan beras negara dan meningkatkan pendapatan pesawah.

Varieti yang dinamakan Menora itu turut memiliki ketahanan terhadap penyakit seperti karah, menjadikannya pilihan strategik dalam usaha memperkukuh industri padi dan beras negara.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau pada Isnin.

“Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus melaksanakan Pelan Reformasi Industri Padi dan Beras Negara demi memastikan kemandirian bekalan makanan, meningkatkan hasil pesawah serta menjadikan industri ini lebih lestari dan berdaya saing,” katanya.

Beliau menghadiri Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI MR333 di Kampung Lahar Minyak, Kepala Batas, Pulau Pinang, yang menyaksikan pengiktirafan rasmi terhadap hasil penyelidikan intensif MARDI.

Dalam majlis tersebut, Mohamad Sabu merakamkan penghargaan kepada barisan penyelidik MARDI atas kejayaan membangunkan varieti berprestasi tinggi itu.

“Insya-Allah, usaha bersama antara kerajaan, agensi dan pesawah akan membawa sektor padi dan beras negara ke tahap yang lebih baik,” kata beliau.

Untuk info, varieti MR333 dibangunkan khas untuk kawasan jelapang dan berpotensi menjadi alternatif kepada varieti popular seperti MR297, MR315 dan MR303.

Ia mempunyai tempoh matang yang singkat, ketahanan rebah serta berat 1,000 biji benih yang lebih tinggi iaitu sekitar 30.9 gram.

Kajian MARDI turut menunjukkan bahawa ketahanan MR333 terhadap penyakit karah dapat mengurangkan keperluan penggunaan racun kimia, sekali gus menjimatkan kos dan memberi manfaat kepada alam sekitar.

Anda Mungkin Berminat