Maritim Gagalkan Cubaan Seludup Tulang Lembu dan Sayap Ayam Bernilai RM500,000

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili menggagalkan cubaan menyeludup masuk keratan tulang lembu dan sayap ayam tanpa kelulusan sah ke negara ini dalam satu operasi semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, operasi dijalankan hasil risikan dan maklumat awam di sebuah jeti persendirian di Teluk Kabung, Pasir Gudang, Johor sekitar jam 10.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot gentian kaca mendapati ia membawa 220 kotak berisi keratan tulang lembu dan 130 kotak berisi sayap ayam, masing-masing seberat kira-kira 14 kilogram sekotak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Turut dirampas sebuah lori yang digunakan untuk memindahkan barangan berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM500,000.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barangan tanpa kelulusan sah daripada pihak berkuasa.

Mohd Najib berkata, kejayaan ini membuktikan kecekapan dan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam mengekang aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan makanan serta kestabilan ekonomi negara.

“Maritim Malaysia komited memastikan setiap cubaan penyeludupan dapat dipatahkan bagi melindungi kepentingan rakyat dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyeru orang awam agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim melalui talian 07-8916591 atau talian kecemasan 999 bagi memastikan perairan negara terus selamat dan terpelihara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat