TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 30 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran dalam operasi di perairan Tawau pada Ahad.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, kejadian itu berlaku ketika bot peronda Maritim Malaysia menjalankan OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS selepas menerima maklumat risikan mengenai pergerakan mencurigakan sebuah bot.
“Pemeriksaan ke atas bot kargo yang ditahan di kedudukan 1.6 batu nautika selatan Batu 3 tersebut mendapati terdapat seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 36 tahun membawa muatan 30 tong gas LPG berisi tanpa sebarang permit kebenaran dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
“Juragan tersebut juga tidak mempunyai daftar nama di dalam lesen bot tersebut,” katanya.
Bot bersama muatan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002. Keseluruhan barangan termasuk bot kargo, enjin dan muatan disita dengan nilai dianggarkan lebih RM30 ribu.
Ariffin berkata, pihaknya akan terus memperketat pemantauan terhadap ketirisan barangan bersubsidi khususnya di lokasi ‘hotspot’ yang sering menjadi sasaran sindiket.
“Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi,” tambah beliau.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut boleh menyalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.








