Maritim Malaysia Gagal Dua Cubaan Seludup Petrol Dalam Masa Sejam

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan petrol dalam dua kejadian berasingan di perairan Pulau Bum Bum, dalam tempoh kurang sejam petang Khamis.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, kedua-dua rampasan melibatkan sebuah bot enjin sangkut, enjin serta puluhan ‘jerrycan’ berisi petrol dengan nilai keseluruhan hampir RM20,000.

Menurut Amir, kejadian pertama berlaku sekitar pukul 5.30 petang apabila pasukan Bot KILAT 52 yang sedang melaksanakan Ops PLUTO TIMUR 2/2013 mengesan sebuah bot enjin sangkut dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.5 batu nautika barat laut Pulau Bum Bum.

Katanya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke daratan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan 15 ‘jerrycan’ berisi petrol bersama sebuah bot enjin sangkut dan enjin Yamaha 40 kuasa kuda yang dianggarkan bernilai RM17,250,” katanya.

Kira-kira 50 minit kemudian, pada pukul 6.20 petang, pasukan yang sama menemui longgokan ‘jerrycan’ terapung di kedudukan 0.9 batu nautika utara Pulau Bum Bum.

Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 30 ‘jerrycan’ berisi petrol dipercayai sengaja dibuang ke laut oleh penyeludup bagi mengelak dikesan.

Nilai rampasan bagi kes kedua dianggarkan RM1,500.

Kesemua barang rampasan dibawa ke Jeti Kem Azumi, Semporna sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Semporna untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Maritim Malaysia memandang serius kegiatan penyeludupan barang kawalan di perairan negara.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan yang bukan sahaja merugikan negara, malah boleh menjejaskan keselamatan serta kestabilan ekonomi tempatan,” tegas beliau.

Amir turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim supaya menyalurkannya kepada Maritim Malaysia melalui talian kecemasan 999.

Anda Mungkin Berminat