KUANTAN: Buat pertama kali dalam sejarah penubuhannya sejak dua dekad lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini memiliki pasukan komando sendiri apabila Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) menganjur dan mengendalikan sepenuhnya Kursus Asas Komando STAR Team Siri 1/2025.
Langkah itu melakar sejarah baharu dalam usaha memperkasakan keupayaan tempur agensi itu, sekali gus meletakkan STAR Team setanding dengan pasukan khas elit negara seperti PASKAL, PASKAU dan VAT69.
Seramai 15 peserta terpilih terdiri daripada dua pegawai dan 13 anggota Lain-Lain Pangkat telah memulakan latihan intensif selama empat bulan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), selepas melalui saringan ketat daripada 50 calon pada Januari lalu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, menyifatkan kursus itu bukan sekadar latihan fizikal, sebaliknya sebuah proses pembentukan sahsiah dan jati diri anggota elit.
“Ini bukan sekadar kursus. Ia adalah medan penempaan jiwa kental, keberanian mutlak dan disiplin luar biasa – acuan sebenar seorang anggota STAR,” tegas beliau ketika merasmikan Malam Jati Diri Pembukaan Kursus di AMSAS, malam tadi.
Beliau turut menambah bahawa kejayaan menganjurkan kursus itu secara kendiri menunjukkan kematangan organisasi dan keyakinan kepimpinan terhadap keupayaan sumber manusia dalaman.
“Kita tidak lagi bergantung kepada agensi luar.
“Jurulatih-jurulatih kita sendiri yang melaksanakan kursus ini bukti bahawa Maritim Malaysia kini berdiri atas kekuatan sendiri,” ujarnya lagi.
Latihan yang sedang berlangsung itu dikendalikan sepenuhnya oleh sepuluh jurulatih bertauliah dari kalangan pegawai dan anggota STAR Team sendiri, menjadikan ia satu penanda aras baharu dalam sejarah agensi.
Para peserta bakal diasah menerusi modul-modul ekstrem termasuk operasi penyelamatan maritim berisiko tinggi, peperangan asimetri dan misi-misi khas yang menuntut ketahanan fizikal, kecerdasan mental serta semangat setiakawan tinggi.
Turut hadir memberikan sokongan dalam majlis pembukaan kursus ialah Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah; Panglima PASKAU, Brigadier Jeneral Mohd Zairul Hisham Muhamad Ibrahim TUDM; wakil Panglima PASKAL, Komander Maznan Mohd Said TLDM serta Komander STAR Team, Kepten Maritim Syuzefri Mat Noor.
Keupayaan Maritim Malaysia membina dan melatih pasukan khasnya sendiri bukan sahaja mengukuhkan aspek keselamatan perairan negara, malah menandakan kemajuan signifikan dalam pembangunan sumber manusia pertahanan maritim.
“STAR Team bukan lagi sekadar simbol kekuatan taktikal, sebaliknya lambang kedaulatan dan kepercayaan negara di lautan biru,” ujar Datuk Rosli.
Dengan kejayaan itu, Maritim Malaysia kini mengorak langkah sebagai antara agensi keselamatan utama negara yang bersedia menangani cabaran operasi berprofil tinggi dari segi penyelamatan, penguatkuasaan undang-undang maritim, hinggalah ke operasi khas yang berisiko tinggi dan kritikal.








