Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan semula Op Khas Pagar Laut di seluruh perairan negara khususnya di kawasan titik panas sempena Ramadan dan Syawal bermula 12 Mac lepas hingga 30 April depan.
Menurut Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata operasi itu dilaksanakan bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan seperti pergerakan pendatang asing tanpa izin, pencerobohan nelayan asing, penyeludupan barangan kontraban serta barang kawalan ke luar negara.
“Operasi khas ini akan dilaksanakan dalam empat fasa iaitu fasa satu melibatkan persediaan pengumpulan maklumat dan kesiapsiagaan aset bermula 12 Mac hingga semalam, diikuti fasa kedua iaitu penguatkuasaan sebelum perayaan bermula hari ini hingga 1 April.
“Seterusnya fasa ketiga merangkumi penguatkuasaan semasa perayaan (2 hingga 16 April) dan fasa keempat melibatkan penguatkuasaan selepas perayaan (17 hingga 30 April),” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Hamid berkata operasi itu turut mengerahkan seramai 800 pegawai serta anggota di seluruh negara serta 45 aset milik agensi dan sepanjang operasi berkenaan, Maritim Malaysia akan memperketat kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di perairan sempadan negara jiran.
“Selain rondaan dan operasi yang dijalankan, Maritim Malaysia turut bersiap sedia mengerahkan aset milik agensi bagi melaksanakan tugas Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) sekiranya berlaku sebarang insiden kemalangan kapal atau bot penumpang yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut lebaran nanti,” ujarnya.
Terdahulu, Maritim Malaysia berjaya menumpaskan 12 kes berprofil tinggi daripada 42 kes tangkapan yang dilakukan pada tahun lepas.

Difahamkan, antara cubaan menyeludup masuk rokok, pencerobohan bot nelayan asing, kemasukan pendatang tanpa izin serta kesalahan menyeludup barang kawalan dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM13 juta.
Baca juga: