Maritim Malaysia nafi serbu Masjid Rusila, itu fitnah jahat

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan dakwaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa pasukan elit agensi itu melakukan serangan di Masjid Rusila, Marang pada 19 September lalu.

Menurut Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menegaskan tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah merupakan satu fitnah berniat jahat yang boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan negara.

“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi. Latihan yang dijalankan ketika itu hanyalah sebahagian daripada silibus latihan taktikal pasukan khas kami,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi sebentar tadi.

Menurut Mohd Rosli, dakwaan yang dibangkitkan Takiyuddin adalah merujuk kepada modul latihan Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).

Jelasnya, latihan itu bertujuan membentuk ketahanan mental, disiplin serta kebijaksanaan anggota ketika berhadapan dengan masyarakat dalam misi penyamaran.

“Masjid berkenaan hanya digunakan sebagai tempat beriktikaf dan berehat para pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum menerima tugasan seterusnya.

“Pihak pengurusan masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah atau aktiviti keagamaan berlaku,” tegasnya.

Beliau turut menafikan wujud unsur kekerasan atau tindakan tidak wajar seperti yang didakwa, sebaliknya anggota yang terlibat hanya menunaikan ibadah di masjid berkenaan.

Jelasnya lagi, elemen keagamaan turut diterapkan dalam latihan sebagai asas kepada pembentukan jati diri, integriti dan semangat perjuangan anggota penguat kuasa.

“Laporan polis yang dibuat telah diselesaikan secara baik selepas pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku,” katanya lagi.

Jelas beliau, latihan STAR Team dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di bawah seliaan jurulatih kanan, sejajar dengan matlamat melahirkan anggota maritim yang bukan sahaja cekap dan berani, tetapi juga berakhlak serta berdisiplin.

Sementara itu, Takiyuddin sebelum ini dalam sesi di Dewan Rakyat mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki kawasan Masjid Rusila tanpa kebenaran, memakai kasut serta memasuki ruang solat wanita dan mendakwa diri mereka sebagai polis.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan insiden itu seolah-olah mengulangi peristiwa Memali 1985 dan mempersoalkan sama ada tindakan tersebut selari dengan prosedur Kementerian Dalam Negeri.
Kes berkenaan disahkan telah diselesaikan secara baik antara pihak masjid dan Maritim Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat