JOHOR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat berjaya merampas sebanyak 245 ekor hidupan liar dalam satu Operasi Bersepadu bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor di sebuah kelong di perairan Batu Pahat, malam Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, operasi itu dijalankan sekitar pukul 10.30 malam di Kelong Sungai Ayam, kira-kira 1.2 batu nautika barat daya Sungai Suluh.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati hidupan liar yang dirampas dipercayai terdiri daripada spesies dilindungi dan disyaki diperdagangkan secara haram.
“Rampasan melibatkan 234 ekor burung Murai Kampung, 10 ekor ular sawa dan seekor monyet yang dipercayai melanggar peruntukan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kesemua haiwan tersebut dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserahkan kepada Perhilitan Johor untuk siasatan lanjut.
Mohammad Zaini berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan hidupan liar.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa lain demi melindungi khazanah biodiversiti negara daripada dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.








