Maritim Malaysia Sambung Misi Pencarian Warga Turkiye

PUTRAJAYA: Harapan kembali menyala di perairan Pulau Yu, Terengganu apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan semula operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi kru kapal layar Daisy yang masih hilang, Eser Demirkol, warga Turkiye.

Langkah itu diambil selepas permohonan rasmi diterima daripada Kedutaan Besar Turkiye melalui Kementerian Luar Negeri pada 8 Ogos 2025 dalam usaha menyelamat.

Insiden tragis yang berlaku pada 31 Julai lalu telah meragut dua nyawa kru kapal, manakala Eser masih belum ditemui.

Maritim Malaysia dalam satu kenyataan berkata, operasi awal selama tujuh hari meliputi kawasan seluas 457.61 batu nautika persegi menggunakan aset laut, udara, pasukan penyelam STAR Team dan bantuan kenderaan kawalan jauh (ROV), namun dihentikan pada 6 Ogos selepas tiada petunjuk ditemui.

Katanya lagi, kini, fokus pencarian dialihkan ke dua lokasi utama iaitu di kawasan disyaki tempat kapal karam dan lokasi penemuan mangsa kedua dengan penggunaan aset laut dan udara secara maksimum.

“Maritim Malaysia komited melaksanakan operasi CARILAMAT ini dan berusaha sedaya upaya sehingga menemui petunjuk positif mangsa tersebut,” kata Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Maritim Malaysia turut menyeru komuniti maritim dan orang awam agar peka dan segera melaporkan sebarang tanda berkaitan mangsa dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau MRCC Putrajaya di 03-89413140 yang beroperasi 24 jam.

Anda Mungkin Berminat