Maritim Malaysia tahan bot nelayan Vietnam ceroboh perairan berjaya selamatkan RM3 juta hasil negara

Maritim Kelantan berjaya menahan dua buah bot nelayan asing Vietnam pada kedudukan lebih kurang 160 hingga 162 batu nautika dari muara Tok Bali pada Sabtu.

Pengarah Maritim Kelantan, Erwan Shah Soahdi berkata, kesemua tangkapan dilakukan menerusi rondaan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam dalam ‘Op Damai’, ‘Op Naga Barat’ dan ‘Op Tiris’.

“Kedua-dua bot telah dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 11.02 pagi sebelum bot pertama berjaya ditahan lebih kurang pukul 11.28 pagi dan diikuti bot kedua pada pukul 12.14 tengah hari berkenaan.

“Pada awalnya mereka tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila penguat kuasa Maritim Malaysia memberikan arahan untuk menghentikan bot.

“Melihat keadaan yang berlarutan, kapal Maritim Malaysia bertindak memintas bot dan melakukan force boarding untuk menghentikan bot-bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, tangkapan kali ini turut melibatkan rampasan kira-kira 1,000 kilogram hasil laut, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 2,500 liter dengan anggaran nilai hampir RM3 juta.

Hasil pemeriksaan mendapati bot pertama dan kedua mempunyai 18 dan lima orang kru termasuk tekong menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan adalah 23 orang.

Sementara itu, kesemua mereka disyaki warga Vietnam berumur 16 hingga 55 tahun.

Susulan itu, kesemua bot disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Difahamkan, proses membawa balik bot tahanan telah mengambil masa lebih 35 jam sebelum kedua-dua bot tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan kira-kira pukul 11.00 malam Ahad untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat