Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim) Negeri Sarawak telah menahan sebuah bot nelayan tempatan pada jarak kira-kira 4.5 batu nautika dari bahagian timur Tanjung PO, Kuching, Sarawak pada Rabu.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot nelayan berkenaan dikesan ketika rondaan rutin Op Permai dan Op Tiris 3.0 yang sedang melakukan aktiviti perikanan yang mencurigakan di sekitar perairan Kuching.
Kamal Ariffin berkata, bot tersebut dikendali oleh seorang tekong bersama lima kru warga tempatan berumur dalam lingkungan 24 hingga 49 tahun.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang tujuh batu nautika seperti tertera dalam lesen.
“Pihak Maritim menahan kru bersama tekong, peralatan perikanan serta hasil tangkapan ikan yang dianggarkan seberat 100 kilogram.
“Kesemua individu yang ditahan dan barangan dirampas dibawa ke Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk siasatan lanjut dibawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di laut untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak pada talian 082-432544 atau MERS 999.
Baca juga: