Maritim tahan kapal korek curi pasir di perairan Kerian, Larut Matang

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal korek yang dikendalikan warga asing dengan melakukan operasi mengorek pasir di perairan Kerian dan Larut Matang, Perak pada Rabu.

Hasil pemeriksaan pada pukul 12.23 malam, anggota bot peronda Maritim mendapati kapal berkenaan melakukan operasi mengorek pasir di kawasan larangan.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid, ketika dikesan kapal korek terbabit dalam keadaan mencurigakan, khususnya ketika sedang melakukan aktiviti pengambilan pasir laut di luar waktu ditetapkan.

“Hasil siasatan mendapati, kapal korek itu mempunyai 21 kru terdiri daripada 15 warga China, lima warga Indonesia dan seorang warga tempatan.

“Nakhoda kapal yang merupakan warga Indonesia telah gagal mengemukakan sebarang dokumen termasuk kebenaran melakukan aktiviti terbabit dan insuran kapal,” katanya dalam satu kenyataan pada khamis.

Beliau berkata, kapal berkenaan bersama muatan 1,500 tan metrik pasir telah ditahan bagi tujuan siasatan mengikut Akta Pelantar Benua 1966 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Difahamkan, Maritim Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan bagi memastikan kapal dan bot yang berada di perairan negara terjamin dan mematuhi undang-undang.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat dan aduan berkaitan jenayah dan kesalahan maritim dengan menghubungi di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat