PETALING JAYA: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat proses diplomatik yang perlu dihormati.
“Ada proses yang perlu diikuti dan masih terlalu awal sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Anwar ringkas ketika ditanya mengenai pencalonan Adams.
Nick Adams, seorang pempengaruh konservatif dan penyokong tegar bekas Presiden Donald Trump, mencetuskan kontroversi selepas menyatakan hasrat untuk ‘menyebarkan kemurahan hati Trump kepada rakyat Malaysia’ dan menikmati budaya tempatan.
Pencalonannya diumumkan oleh Trump dalam satu hantaran di platform Truth Social.
Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut berkata, pelantikan Adams masih belum disahkan oleh Senat AS.
“Belum ada pengesahan rasmi daripada kerajaan Amerika Syarikat. Jadi terlalu awal untuk kita beri komen,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa Malaysia sebagai negara tuan rumah mempunyai hak untuk menerima atau menolak calon duta yang dicadangkan, selaras dengan Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik.
“Malaysia berhak untuk menerima atau menolak mana-mana calon duta yang dicadangkan oleh mana-mana negara,” katanya.
Pencalonan Adams menerima kritikan meluas daripada pelbagai pihak termasuk Pemuda Harapan yang mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan AS.
Walaupun pencalonan Adams mencetuskan perdebatan, kerajaan Malaysia menegaskan bahawa hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat kekal penting dan sebarang keputusan akan dibuat dengan teliti.