SEBERANG PRAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur atas pelancaran Pembangunan Masjid Madani Permatang Pauh, dekat sini yang dianggap manifestasi impian lama.
Menurut Anwar, pembangunan masjid itu telah lama dirancang, bahkan menjadi sebahagian daripada renungan beliau sewaktu melalui tempoh sukar dalam hidupnya.
“Saya bersyukur atas ikhtiar membangunkan sebuah masjid seperti ini yang telah lama saya fikirkan semenjak terkurung di ‘Istana Hinggap’ satu ketika dulu. Impian melihat sebuah masjid yang indah tetapi berfungsi dan dibangunkan atas asas takwa di Permatang Pauh.
“Di sebalik kebanggaan dan keindahan masjid, ia mesti dimanfaatkan dengan mengimarahkan rumah Allah serta mendekatkan diri kepada-Nya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada majlis sama, Anwar turut menyaksikan pertukaran dokumen Terma Utama Kerjasama antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) bagi pembangunan Rumah Persaraan Mandiri Warga Emas.
Beliau berharap usaha itu memberi manfaat besar kepada ahli kariah dan menjadi amal jariah yang berterusan untuk semua pihak yang terlibat dalam pembangunan projek berkenaan.
“Semoga usaha ini mendapat keberkatan Allah SWT dan memberi dampak positif kepada masyarakat setempat,” tambah beliau.
Masjid Madani Permatang Pauh merupakan antara inisiatif di bawah agenda Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan seimbang antara spiritual dan kemajuan masyarakat. Projek ini dijangka menjadi pusat aktiviti komuniti dan pembelajaran Islam di kawasan tersebut.
Baca juga:








