KUALA LUMPUR: Semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah mengadakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah bermula malam ini bagi mendoakan keselamatan pasukan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, solat itu akan dilaksanakan selepas Maghrib malam ini dan diteruskan esok selepas Solat Jumaat.
“Semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan juga akan membaca Khutbah Jumaat Khas berkaitan isu Palestin,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tindakan itu diambil susulan perbuatan biadap rejim Israel yang menghalang dan memintas pasukan flotilla kemanusiaan berkenaan.
“Saya turut mengesyorkan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri mengambil langkah yang sama agar doa dan solidariti ini dapat disatukan di seluruh negara,” katanya.
Mohd Na’im turut mengajak umat Islam bersama-sama mendoakan perlindungan kepada pasukan Global Sumud Flotilla, khususnya rakyat Malaysia yang terlibat, selain kesejahteraan rakyat Palestin.
Baca juga: