Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Ustazah Siti Mastura digesa meletakkan jawatan atas susulan kekalahan kes saman fitnah difailkan oleh tiga pemimpin DAP.
Ketua Pemuda Amanah Kepala Batas, Muhammad Abrar Sadiq Azizi berkata tindakan Mastura sangat memalukan dan mencemarkan nama baik kawasan Kepala Batas.
“Fitnah yang disebarkan oleh YB (Siti Mastura) bukan sahaja menjejaskan integriti peribadi beliau sebagai seorang pemimpin yang berpendidikan PHD, tetapi juga telah mencalarkan keyakinan rakyat terhadap sistem kepimpinan dan keharmonian masyarakat.

“Perkara ini amat serius dan memerlukan tindakan segera bagi memulihkan reputasi parlimen kepala batas.
“Perbuatan memohon derma atas nama jihad juga dilihat PAS jelas sebagai sebuah parti yang menghalalkan fitnah,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Susulan itu, beliau dengan tegas menuntut Mastura meletakkan jawatan sekali gus memberi laluan kepada rakyat untuk memilih pemimpin baharu melalui Pilihan Raya Kecil (PRK).
Katanya, tindakan itu adalah sebagai langkah terbaik bagi memastikan suara rakyat kembali didengari dan keadilan ditegakkan.
“Kami berharap, Dr Ustazah Mastura mengambil tanggungjawab atas situasi ini dan memberi ruang kepada proses demokrasi yang telus serta adil demi kepentingan bersama,” katanya.

Pada 4 Disember lalu, Siti Mastura kalah dalam kes saman fitnah difailkan oleh Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok berhubungan ucapannya yang mengaitkan mereka dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.
Pihak Mahkamah Tinggi Georgetown mengarahkan beliau membayar ganti rugi bernilai RM750,000 kepada pemimpin DAP.
Siti Mastura juga turut diperintah membayar kos guaman sebanyak RM25,000 setiap seorang untuk ketiga-tiga plaintif.
Bagi mengelakkan Siti Mastura hilang kelayakan sebagai ahli parlimen, PAS telah mengambil tindakan menganjurkan kutipan derma dan menganggap tindakan tersebut sebagai jihad bagi menghalalkan cara.
Baca juga: