Seorang wanita cedera parah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 4, Jalan Kota Tinggi, Kulai, Johor pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora, kejadian yang berlaku pada pukul 4.30 petang itu membabitkan mangsa berusia 19 tahun dan seorang lelaki tempatan, 20, yang duduk di bahagian penumpang depan SUV Toyota Rush dengan sebuah lori Nissan UD dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun.
“Dalam kemalangan tersebut, wanita tersebut yang merupakan pelajar di institut pengajian tinggi awam di Johor Bahru mengalami kecederaan parah di bahagian pinggul dan dirujuk ke Hospital Kota Tinggi bagi mendapatkan rawatan.
“Penumpang lelaki hadapan SUV tersebut pula mengalami cedera ringan di bibir dan tangan kiri manakala pemandu dan kelindan lori cedera ringan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah beliau, kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan 1987.
“Polis Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama di jalan raya,” jelasnya.
Terdahulu tular satu video berdurasi 25 saat yang memaparkan SUV berkenaan masuk ke laluan bertentangan serta merempuh lori berkenaan sebelum terbabas dan terbalik di bahu jalan.
Baca juga: