Masyarakat antarabangsa perlu desak gencatan senjata di Gaza

Oleh: Chan Chun Kuang

ULASAN | Saya menggesa agar gencatan senjata dilaksanakan tanpa berlengah di Gaza. Serangan berterusan oleh rejim Israel bukan sahaja telah meragut ribuan nyawa rakyat Palestin yang tidak bersalah, malah turut mengorbankan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta memusnahkan banyak infrastruktur awam termasuk hospital yang jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Sehingga kini, lebih 49,000 nyawa telah terkorban sejak konflik bermula pada Oktober 2023, manakala dalam tempoh 72 jam terakhir, lebih 600 penduduk Gaza menjadi mangsa serangan udara Israel.

Sementara itu, dilaporkan jumlah mangsa yang cedera telah melebihi 1,000 orang, dengan kebanyakan hospital berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan dan tenaga elektrik. Pada masa yang sama, satu-satunya hospital khusus untuk pesakit kanser di Gaza turut musnah dalam serangan udara.

Tindakan Israel ini jelas merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan boleh diklasifikasikan sebagai jenayah pembunuhan beramai-ramai (genocide) terhadap rakyat Palestin.

Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus membisu apabila kekejaman ini berlaku di hadapan mata kita. Kehancuran di Gaza menjadi bukti nyata keganasan yang tidak boleh diterima oleh mana-mana masyarakat yang menghormati nilai kemanusiaan.

Sehubungan itu, saya memohon semua rakyat Malaysia bersatu dan bersolidariti untuk rakyat Palestin. Kita perlu bersama-sama menyuarakan sokongan terhadap hak asasi manusia dan menolak sebarang bentuk penindasan ke atas rakyat Palestin.

Saya juga menggesa semua negara, termasuk PBB dan organisasi antarabangsa lain, agar segera mengambil tindakan tegas untuk mendesak Israel menghentikan serangan ini serta memastikan gencatan senjata segera dikuatkuasakan.

Komuniti antarabangsa tidak boleh terus berpeluk tubuh sementara lebih ramai nyawa menjadi korban akibat keganasan ini.

Keamanan dan keadilan perlu ditegakkan untuk rakyat Palestin.

***Penulis adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu dan juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang

Baca juga:



Anda Mungkin Berminat