Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Demi kepentingan negara dan menjaga imej tatakelola Madani, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menggesa Ketua Pengarah Pendidikan (KPPM), timbalan yang berkaitan serta Pengarah Lembaga Peperiksaan untuk mengundurkan diri secara budiman akibat kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang dalam dokumen rasmi negara.
Menurut beliau, tindakan itu adalah lambang tanggungjawab dan bukan sesuatu yang mengaibkan jika dilandaskan pada prinsip serta maruah bangsa dan negara.
Walaupun kesalahan tersebut dianggap minimal, Dr Maszlee berkata, ia tetap memalukan kerana melibatkan bendera kebangsaan.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana dokumen rasmi kerajaan boleh melakukan kesalahan terhadap simbol penting seperti Jalur Gemilang.
“Lebih malang, ia dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan yang diamanahkan untuk mendidik rakyat sekalian.
“Jawapannya mudah, kerana kelalaian, kecuaian dan sikap tidak cermat dan tidak berdisiplin dalam menjalankan amanah,” tegas beliau.
Dr Maszlee turut menjelaskan bahawa dokumen rasmi kerajaan sepatutnya melalui prosedur dan tatacara pengendalian piawai (SOP) yang ketat dengan tapisan menyeluruh pada setiap peringkat.
Katanya, ini termasuklah semakan oleh Pengarah Lembaga Peperiksaan, diikuti kelulusan oleh Ketua Pengarah Pendidikan (KPM) dan akhirnya diluluskan oleh Menteri.
“Setelah disahkan, ia akan dibawa kepada Menteri untuk diluluskan.
“Ada kalanya, jika melibatkan isu pentadbiran dan tata kelola, pihak Ketua Setiausaha (KSU) juga terlibat untuk menapisnya,” katanya.
Beliau percaya jika prosedur ketat itu diterapkan, kesalahan grafik dalam laporan SPM tersebut dapat dielakkan.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah tampil memohon maaf atas kesilapan pemaparan ilustrasi Jalur Gemilang dalam buku laporan SPM yang diedarkan.
KPM turut mengakui bahawa kecuaian itu tidak boleh diterima.
“Kecuaian ini tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara,” ujar KPM.
Sebagai langkah pembetulan, tindakan tegas segera telah diambil terhadap semua pihak yang terlibat dalam isu ini.