Maszlee Ucap Tahniah Fadhlina Atas Kejayaan Malaysia Di UNESCO

PETALING JAYA: Kejayaan Malaysia dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO bagi penggal 2025 hingga 2029 membuktikan keupayaan negara dalam memacu agenda pendidikan global yang inklusif dan mampan.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Maszlee Malik berkata tahniah harus diberi kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Tahniah kepada YB Fadhlina dan KPM di atas kemenangan usaha menjadikan Malaysia sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berharap kejayaan ini dapat memperkukuh pelaksanaan Pendidikan Warga Global (Global Citizenship Education) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di sekolah dan institusi pendidikan seluruh negara.

Maszlee turut menyeru agar penubuhan kelab UNESCO di bawah KPM yang bermula sejak 2019 terus diperkasa bagi melahirkan pelajar berfikiran global dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Usaha ini penting untuk memastikan para pelajar bukan sahaja cemerlang di peringkat akademik, tetapi juga memahami peranan mereka sebagai warganegara dunia,” katanya lagi.

Tambahnya, beliau yakin pengamalan terbaik sekolah-sekolah di Malaysia mampu menjadi contoh kepada negara lain dalam memperkukuh nilai kemanusiaan dan pendidikan sejagat.

Untuk rekod, Malaysia mencatat sejarah apabila berjaya memperoleh undi tertinggi dalam kalangan negara yang bertanding untuk kerusi Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO, sekali gus mengiktiraf peranan aktif negara dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan di peringkat global.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat